Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Monday, October 10, 2016

Bila Pemandu Berusia 31 Tahun Ambil Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Kota Bharu, Kelantan

 Semangat tidak berputus asa mendorong seorang calon persendirian, Nik Mohd. Nazrul Nik Rashid, 31, (kiri) menduduki semula Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Gafar di sini, hari ini. - UTUSAN/ROSNI MASRI

Pemandu Berusia 31 Tahun Ambil PT3 Demi Capai Impian *Usia bukan penghalang untuk berjaya.. Gud luck bro!! 💪 via Utusan Online

KOTA BHARU 10 Okt. - Biarpun usianya sudah mencecah 31, itu tidak menjadi halangan bagi Nik Mohd. Nazrul Nik Rashid untuk mengambil semula ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di SMK Long Gafar hari ini.

Nazrul tetap gigih menduduki semula ujian itu selepas pernah gagal sebelum ini demi mengejar impiannya untuk mendapatkan jawatan tetap sebagai pemandu di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Apa yang lebih menghaurkan, bapa kepada empat anak itu berkata jikalau dia gagal kali ini, dia akan menduduki semula ujian itu untuk mencapai impiannya.

“Jawatan saya sekarang adalah kontrak dan saya perlu menduduki PT3 untuk membaiki sijil saya bagi membolehkan memohon ke jawatan tetap.

"Saya tidak akan berputus asa, malah akan terus berusaha sehingga berjaya mendapat sijil berkenaan memandangkan saya benar-benar menginginkan jawatan tetap itu untuk menjamin masa depan kami sekeluarga," katanya sebagaimana lapor Utusan Online.

Nazrul ditemui selepas menduduki kertas Bahasa Melayu di SMK Long Gafar di sini hari ini.

Menurut Nazrul lagi dia hanya sempat mengikuti kelas tuisyen untuk menghadapi PT3 ketika ada masa lapang kerana sibuk bekerja.

"Saya juga mengulangkaji sendiri di rumah dengan bantuan jiran yang juga pelajar tingkatan 3. Dia banyak membantu dengan berkongsi soalan-soalan untuk rujukan," katanya.

Seorang lagi calon, Noor Nabilah Zulkipli, 15, berkata, dia tiba di sekolah seawal pukul 7 pagi untuk menghadapi PT3 hari ini.

"Meskipun baru sahaja kehilangan ayah pada 1 September lalu akibat asma, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha mencapai keputusan yang cemerlang.

"Untuk menghadapi PT3 saya banyak mengulangkaji di rumah selain memberi tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar di dalam kelas.

"Selain itu, saya juga mengamalkan solat hajat setiap malam dan ini adalah usaha saya untuk mencapai keputusan semua A bagi menyambung pelajaran dalam aliran sains," katanya.

Sumber : Utusan Online

Saturday, January 24, 2015

Tahun 2015 : Kini Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah

Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah

Merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Walaupun merotan anak me­ru­­pakan sebahagian budaya ma­­syarakat kita, tetapi kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.

“Kita juga mengambil iktibar rakyat negara kita (Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal) yang dihukum penjara kerana memukul anak di Sweden pada tahun lalu,” katanya selepas menghadiri program Santai Kopi O anjuran Komuniti Pertubuhan Wanita 1 Malaysia (Perwani) Shah Alam di Galeri Shah Alam, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Munirah Abdullah Bajanuddin dan Pengerusi Penyelaras Perwani Shah Alam, Radziah Ahmad.

Rohani berkata, setakat ini, hanya terdapat dua hukuman dalam Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Seksyen 31 dan Seksyen 33 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan kerana mendera atau mengabaikan anak.


Namun, jelas beliau, itu dianggap masih tidak mencukupi dan disebabkan itu dalam penggubalan akta baharu tersebut, hukuman tambahan iaitu menjalani khidmat komuniti di pusat perlindungan kanak-kanak kepada individu yang didapati bersalah mendera dan mengabaikan anak turut dimasukkan.

“Ini bertujuan memberi keinsafan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak terbabit agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan mendidik anak mereka,” katanya..

Monday, December 29, 2014

Pengumuman: Sesi Persekolahan Tahun 2015 Ditangguhkan. - Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin


Pengumuman: Sesi Persekolahan Tahun 2015 Ditangguhkan

Sesi persekolahan yang sepatutnya bermula pada Isnin akan datang ini telah ditangguhkan berikutan masalah banjir yang masih lagi belum pulih sepenuhnya.

Pengumuman ini telah diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pendidikan iaitu Tan Sri Muhyidin Yassin.

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR
 
Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan 

Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir. Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain. 

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad). Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin). 

Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira; a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka. 

Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna. 

Terima kasih. 
Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin 
Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pendidikan 
29 Disember 2014