Friday, June 30, 2017

MATI DITEMBAK, TIADA PEMBELAAN! MOHON KES DISIASAT SEMULA!!


Demi Allah apa yang cuba saya sampaikan semua ini adalah benar-benar terjadi pada saya dan keluarga, Ini kah UNDANG-UNDANG MALAYSIA?

PDRM SPRM Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Sebelum saya memulakan sy ingin meminta Maaf mengganggu semua orang yang sedang bergembira menyambut kedatangan Syawal bersama keluarga dan sanak saudara di kampung. Sedang semua bersuka ria, kami sekeluarga dilanda kesedihan tentang berita yang baru kami terima baru-baru ini. Sebelum saya memulakan coretan saya ini, saya ingin memohon maaf jika terkasar bahasa kepada semua pihak samada terlibat atau tidak seandainya coretan ini membuat sesetengah pihak tidak berpuas hati atau marah kepada saya dan keluarga.

Setelah berfikir secara dalam-dalamnya saya Puan Adila, isteri kepada Allahyarham Sahdan b. Ishak ingin menyuarakan rasa ketidakpuasan hati dan terkilan berhubung siasatan kes kematian suami saya. Suami saya telah ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah, berbaju melayu putih dengan kesan tembakan tepat pada dahi di sebuah rumah teres tiga tingkat di Bandar Tun Hussein Onn, Bt 9 Cheras. Kejadian berlaku pada 10 Mac 2017 yang lalu. Genap 100 hari pemergiannya cukup untuk tempoh saya bertenang dan bersuara tentang apa yang berlaku sepanjang siasatan kes.

Kami sekeluarga menyerahkan bulat – bulat kes ini kepada pihak berwajib dengan harapan agar pembunuh arwah mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya. Malangnya itu tidak berlaku, pada 13 Jun 2017 tertuduh telah dijatuhkan hukuman tanpa pengetahuan kami sekeluarga.
Lebih mengecewakan kami hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan sebuah nyawa yang hilang sekelip mata. Sebelum ni tertuduh seorang Dato’ Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kajang atas tiga pertuduhan iaitu menyebabkan kematian, memiliki sepucuk pistol dan sebutir peluru hidup tanpa lesen, Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda. Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memiliki sepucuk pistol jenis Revolver bernombor Siri 72664 tanpa lesen yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan juga sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan ketiga, Tertuduh didakwa memiliki sebutir peluru hidup tertulis S&B7.56 Br tanpa lesen yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Selepas sebutan kes dibuat beberapa kali di Mahkamah Seksyen Kajang hukuman diturunkan kepada Seksyen 304A kanun keseksaan dimana jika disabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 TAHUN atau DENDA atau KEDUA-DUANYA sekali. Ini merupakan KES BUNUH KE-2 Dato’ Seri tersebut dan kali ini dia terlepas lagi. Adakah undang – undang dihujung jari tertuduh? Kes pertama beliau dituduh membunuh ialah pada 13 Ogos 2012 dimana melibat kematian seorang peniaga air di Downtown The Mines, Seri Kembangan.

Pada 13/06/17 (selasa) tanpa kehadiran kami bagi pihak keluarga atau dipendekkan cerita tidak diberitahu tentang pertukaran tarikh perbicaraan pihak tertuduh telah dijatuhkan hukuman dengan alasan beliau telah mengaku salah. Tiada seorangpun wakil daripada keluarga kami yang hadir disebabkan pihak keluarga masih fikir bahawa tarikh yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada 15 Jun 2017 masih kekal. Pada tarikh tersebut juga mahkamah terus menjatuhkan hukum kepada tertuduh dan apa yang mengejutkan kami sekeluarga hukuman yang dijatuhkan hanyalah 3 BULAN penjara (dari tarikh kejadian) dan bayaran denda sebanyak 70K sahaja !!. Tahlil 100hari arwah baru sahaja selesai bermakna tertuduh sudah dibebaskan. Adakah itu harga satu nyawa yang hilang tempat kami bergantung harap? Adakah itu nilai nyawa bagi ayah kepada anak – anak saya yang masih kecil tempat mereka bermanja?. Bayangkan sedang kami masih berduka dengan pemergian arwah dan kehadiran Syawal tanpanya, dapat pula berita tertuduh sudah dibebaskan dengan hukuman yang tidak setimpal. Tertuduh telah keluar dari tahanan dan sedang bergembira berhari raya bersama keluarga. Jika anda sebagai ahli keluarga mangsa menerima ketidakadilan macam ni apa yang anda rasa?

Kami juga meragui kejadian ini dan siasatan terhadap kes ini kerana terdapat banyak pihak yang cuba campurtangan. Ada pihak-pihak tertentu yang cuba berbaik-baik dengan kami sekeluarga, cuba melindungi tertuduh dan memantau pergerakan dan tindakan kami sekeluarga. Disini Saya akan ceritakan serba sedikit tentang kejadian sebenar yang berlaku. Apa yang saya faham dan apa yang diceritakan pada saya pada malam kejadian, tertuduh meminta arwah suami saya ke rumah nya untuk melangsungkan majlis angkat sumpah kenaikkan pangkat bagi sebuah pertubuhan NGO. Turut serta bersama dia pada malam itu adalah 3 rakan baik arwah. Sampai ditempat kejadian, terdapat beberapa orang lagi rakan-rakan yang perlu ada untuk menyempurnakan majlis tersebut. Saya difaham kan saksi kejadian pada malam itu seramai 13 orang termasuk isteri tertuduh dan pembantu rumahnya. Upacara naik pangkat tersebut berlangsung di tingkat 3 rumah tertuduh dimana terdapat 8 orang bersama yang dipertanggungjawab kan untuk menyempurnakanya. Dua daripada rakan baik arwah berada di tingkat bawah rumah tersebut kerana upacara ‘kenaikan’ hanya melibatkan orang-orang berpangkat sahaja.
Terdapat banyak keraguan tentang kematian arwah suami saya . Seramai 13 orang saksi termasuk tertuduh ditempat kejadian dan mengikut laporan forensik, arwah suami saya dibunuh dalam lingkungan jam 2 pagi hingga 3 pagi. Laporan polis dibuat sendiri oleh tertuduh pada jam kira – kira 5 pagi. Didalam laporan tersebut, tertuduh telah menyatakan bahawa arwah telah MEMBUNUH DIRI. Allahuakbar!! Kenapa pelaku sanggup melakukan perkara tersebut kepada arwah yang merupakan pengikut setia pertubuhan mereka? Sudah lah dibunuh dengan kejam, dituduh pula membunuh diri. Arwah masih ada iman dan saya sebagai isteri percaya akan hal itu. Adakah dengan mereka – reka cerita tidak masuk akal itu dapat menutup kesalahan si pelaku?. Kenapa nak aibkan arwah dan keluarga arwah? Selepas ke tempat kejadian polis mendapati terdapat keraguan tentang kematian arwah yang dikatakan bunuh diri. Semasa pihak polis sampai, sepucuk pistol telah diletakkan ditangan kanan arwah dan terdapat kesan tembakan di tengah-tengah dahi arwah. Cuba fikirkan bersama, adakah bunuh diri kesan tembakan boleh tepat tengah-tengah dahi?. Demi Allah, saya masih terbayang wajah arwah semasa proses pengecaman mayat di hospital tempoh hari. Mayat arwah berada dalam keadaan yang menyayat hati, berlumuran darah dengan kesan tembakan berlubang di tengah dahi. Hati isteri mana yang tidak hancur luluh apabila melihat jasad terbaring kaku berbaju melayu putih itu adalah suaminya. Tergamaknya si pelaku memperlaku begitu kepada arwah. Dimanakah sifat perikemanusian dan amalan baik yang sering dilaung – laungkan pertubuhan mereka itu?
Selepas kejadian, kesemua 13 orang individu yang berada didalam rumah tersebut telah ditahan reman bagi membantu siasatan. Selepas tertuduh mengaku bersalah kesemua individu di tempat kejadian dibebaskan dengan ikat jamin. Siasatan diteruskan menjurus kepada tertuduh dengan sebutan kes beberapa kali di Mahkamah Seksyen Kajang. Sepanjang siasatan dijalankan bermulalah pelbagai perkara yang akan cuba saya ringkaskan di sini. Pelbagai pihak samada kenal atau tidak datang menziarahi kami sekeluarga. Pelbagai sumbangan diberikan termasuk wang ringgit, susu , lampin pakai buang dan lain-lain lagi. Alhamdulillah terima kasih rezeki anak-anak, bukan saya tidak bersyukur tapi lama kelamaan kami sekeluarga mula sedar yang wang ringgit,barangan yang diberi ada agenda & tujuan tertentu untuk menutup sesuatu. Tapi bukan semua orang begitu,ada yang ikhlas terima kasih kami sekeluarga ucapkan diatas niat ikhlas hendak membantu amat kami hargai.

Pada satu malam kami sekeluarga didatangi antara 3 hingga 4 orang yang mengaku diri mereka sebagai ANGGOTA POLIS. Mereka telah datang menyerbu kediaman mertua saya. Apa yang pelik, mereka datang bersama ANAK TERTUDUH dan seorang lagi rakan arwah dengan tujuan untuk mengeledah bilik arwah. Dalam keadaan yang keliru dan masih bersedih dengan kejadian yang menimpa arwah, kami masih buntu dan tidak sempat meminta kad kuasa mereka. Pada malam tersebut, mereka datang tanpa menunjukan sebarang waran geledah atau apa-apa kad kuasa dan terus menyerbu hendak ke atas rumah bilik arwah. Untuk apa? Saya cakap ini rumah keluarga arwah, arwah tidak tinggal di sini dia tinggal bersama saya di rumah & tempat lain. Anggota polis tersebut terus mengajak saya ke rumah saya yang saya sendiri pun sudah lama tak pulang setelah kematian arwah. Saya ditemani oleh adik arwah yang juga seorang anggota polis ke rumah kami dimana tempat saya, arwah dan anak-anak tinggal. Pelbagai kemuskilan yang timbul dari mula dia datang, tiada waran atau perkenalan diri, kereta yang dinaiki kereta biasa, dan cara geledah yang tidak bersungguh-sungguh. Terdapatnya beg sandang depan yang dipakai oleh polis tersebut semasa geledah. Adik arwah ikut setiap gerak geri anggota polis tersebut kerana sangsi dengan cara kerja mereka. Menyedari mereka sedang diperhati mereka keluar rumah dengan alasan hendak menghisap rokok dan akan kembali geledah selepas itu. Menyedari baju yang dipakai oleh adik arwah terdapat tulisan yang menyatakan adik arwah adalah seorang anggota polis, mereka terus menyoal tentang kerjaya adik arwah. Setelah mengetahui bahawa adik arwah seorang anggota polis, mereka terus meminta diri untuk pulang tanpa mengeledah rumah kami buat kali kedua sebagaimana yang dikehendaki sebelum ini. Untuk apa mereka datang? Jika difikir balik sabit kesalahan tertuduh dituduh memiliki sepucuk pistol jenis Revolver dan Tertuduh juga didakwa memiliki sebutir peluru hidup tanpa lesen. Adakah kedatangan mereka hendak meletakkan barang kes di rumah arwah? Wallahualam….. Banyak persoalan yang tidak terjawab. Hanya mereka yang bermain dalam permainan ini sahaja yang tahu jawapannya.
Dalam tempoh 100 hari kematian arwah, kami sekeluarga telah dimomokkan oleh pihak tertentu bahawa Pegawai Penyiasat Polis (io) iaitu pegawai yang dipertanggungjawabkan menyiasat kes ini telah bertukar orang. Bermacam cerita yang kami dengar sepanjang kes siasatan dijalankan, semuanya adalah untuk MENGELIRUKAN kami sekeluarga. Sebenarnya masih io yang sama menyiasat kes ini tapi tidak tahu apa tujuan pihak-pihak tertentu membuat cerita ini, mungkin mereka tidak mahu kami tahu perkembangan kes sebenar yang akan diketahui melalui pegawai io itu sahaja. Akibat percaya pada pihak-pihak tersebut kami pun tidak langsung menghubungi io tersebut sehinggalah tarikh dijatuh hukuman. Pegawai io baru yang dikatakan itu pun kami tidak tahu siapa, Kami pihak keluarga langsung tidak tahu apa-apa berkaitan perkembangan kes. Kami percaya kan PDRM yang menyiasat kes ini 100%!! Atas keyakinan bahawa undang – undang di Malaysia adil dan saksama, kami telah serah pada mereka yang berwajib untuk menjalankan tugas. Tetapi malangnya, harapan tinggal harapan… kami sekeluarga terkilan dan kecewa diperlaku seperti ini .

Dalam Malaysia berlaku kes jenayah setiap hari, adakah anggota – anggota polis mempunyai banyak masa untuk datang melawat setiap keluarga mangsa dan mengeluarkan duit poket sendiri memberikan sumbangan? Saya cuba bersangka baik dengan anggota – anggota polis yang datang sebanyak 2 kali melawat keluarga kami.. tapi bukankah pelik anggota daripada tempat lain yang bukan terlibat dalam kes arwah tiba – tiba datang bertanya khabar, memantau dan menyampaikan berbagai sumbangan? Pelik kan, rombangan polis lelaki dan perempuan datang kerumah memantau keadaan keluarga, sering mesej saya dan bertanya tentang perkembangan kes. Bila saya yang tanya apa-apa perkembangan dia cakap tak tahu dan akan tanya kepada pegawai yang menyiasat. Bermakna bukan lah mereka yang kendalikan kes ni. Terdapat Pegawai Polis wanita yang turut serta dalam rombongan tersebut berpangkat ASP terserlah kepura – puraannya memberikan layanan terhadap kami. Tapi Siapa mereka? Apa tujuan mereka? Oh ya, kalau tak silap saya arwah pernah cakap pada saya yang tertuduh adalah bekas anggota polis. Mungkin juga kawan-kawan tertuduh Wallahualam…

Kepada PDRM Malaysia dan Institusi Kehakiman Malaysia saya bukan menentang perundang. Kami sekeluarga dan waris arwah hanya mahukan KEADILAN supaya perundangan Malaysia dipandang tinggi dan masih relevant. Cuba letakkan diri anda ditempat saya? Apakah yang ada rasa?. Ibu Mertua saya sehingga kini sakit – sakit dan tidak dapat menerima hakikat hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan kesalahan. Mak pernah berkata.. “Anak aku bukan ANAK AYAM.. yang mereka boleh tembak sesuka hati!! Kalau tidak dapat balasan didunia, tunggu lah balasan di akhirat nanti”. Akhir kata, saya ingin memohon kepada pihak – pihak yang terlibat agar jangan butakan mata dan pekakkan telinga.. Kejadian ini mungkin akan berlaku lagi kerana ini bukan kes pertama tertuduh dan bukan pertama kali beliau terlepas!! Wassalam….

Coretan benar dari hati,
Nor Adilawati Ishak
(Isteri Allahyarham Sahdan Ishak)
29hb Jun 2017 (Hari Raya Ke-5)

Sumber : https://www.facebook.com/princess.a.lalola/posts/1592232777475521

1.4 Juta Penjawat Awam Bakal Naik Gaji 3%?

KIRA-KIRA 1.4 juta penjawat awam pasti menanti penuh harapan pertemuan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa dengan Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Motif pertemuan ini bagi membincangkan cadangan kenaikan gaji penjawat dan pesara awam sebanyak 3 peratus, selain turut memperincikan beberapa isu lain berkaitan usaha meningkatkan prestasi penjawat awam.

Ali dilaporkan berjanji bahawa perjumpaan akan diadakan secepat mungkin. Satu isyarat jelas, isu ini satu keutamaan. 1.4 juta penjawat memerlukan sedikit kefahaman kerajaan Persekutuan.

Memang sudah banyak yang diusahakan oleh pihak kerajaan dalam memberikan impak kualiti pendapatan dan peningkatan nilai hidup terhadap penjawat awam.

Namun, dalam persekitaran sekarang, penjawat turut mahukan nilai yang lebih real dan refleksif sejajar dengan momentum ekonomi.

Justeru, kenaikan 3 peratus gaji satu dilihat sebagau keperluan berdasarkan kepada impak ekonomi sekarang. – MYNEWSHUB.CC


Ibu hidap kanser meninggal dunia, lima beradik kini sebatang kara

Walaupun baju raya sepasang seorang untuk lima beradik ini sudah dibeli oleh ibunya sebelum dimasukkan ke wad HUSM, namun satu Syawal yang bakal menjelang tiba nanti tidak dinantikan oleh mereka. - Foto Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
KUBANG KERIAN: Ibu kepada lima beradik yang mendapat simpati orang ramai selepas kisah sedihnya disiarkan Astro AWANI sehari sebelum Aidilfitri lalu meninggal dunia Jumaat malam.

Akma Ismail, 41, meninggal dunia akibat kanser payu dara tahap empat sekitar jam 7.15 malam ini di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dekat sini.

Hanya anak perempuannya Azrin Alia Balkis, 11, berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.

Empat lagi adik beradik Azrin berada di rumah mereka di Besut.

Astro AWANI pada 23 Jun lalu menyiarkan kisah lima beradik yang berduka dalam menantikan kedatangan 1 Syawal.


TERDAHULU

Luluh hati lima beradik menyambut Syawal, ibu kini terlantar bertarung nyawa


BESUT: Dalam kesibukan umat Islam dan kegirangan anak-anak menyambut kedatangan satu Syawal, lima beradik dari Taman Perwira, Tok Saboh di sini  diruntun sedih mengenangkan nasib mereka.

Detik berbaki beberapa hari lagi dirasai seperti duri berbisa menusuk hati mereka memandangkan ibu mereka, satu-satunya tempat mereka bergantung hidup, bertarung nyawa sedang menderita menghidap kanser payu dara tahap empat.

Si ibu, Akma Ismail, 41, yang terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dengan keadaan yang sudah tidak menentu kini hanya bergantung kepada bantuan alat penafasan.

Menurut anak sulung kepada keluarga itu, Mohd Azri Irfan Zahari, 14, ibunya hanya dikesan menghidap kanser payu dara seminggu lalu dan terlantar di HUSM.
Semenjak dimasukkan ke HUSM, Mohd Azri Irfan bersama adiknya Mohd Azri Imran, 13, terpaksa tidak ke sekolah kerana menjaga ibunya di hospital.

Ibu mereka sudah berpisah dengan bapa mereka sejak tiga tahun lalu.

Selepas itu segala tugas dipikul oleh ibunya dengan memperolehi pendapatan hasil menjahit baju dan pakaian di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), tempat kediaman mereka.

Mohd Azri Irfan dan Mohd Azri Imran mempunyai tiga adik-beradik lain iaitu Azrin Elia Balkis, 11, Mohd Aziq Israf, 6, dan Azlini Elisya Qistina, 3.

Walaupun baju raya sepasang seorang untuk lima beradik ini sudah dibeli oleh ibunya sebelum dimasukkan ke wad HUSM, namun satu Syawal yang bakal menjelang tiba nanti tidak dinantikan oleh mereka.

“Kurang (gembira), sebab Along kurang yakin dengan ketiadaan ibu untuk menggalas amanah (menjaga) adik-adik. Sudah seminggu (ibu masuk hospital), masih lemah. Minta bantuan ibu-ibu saudara. Tidak mahu berpisah. Harapan tu agar ibu tidak tinggalkan lagi adik-adik, saya tidak sedia pikul amanah,” kata Mohd Azri Irfan ketika ditemui Astro AWANI.

Walaupun lima beradik ini mempunyai datuk dan nenek yang tinggal berdekatan serta menguruskan adik-adiknya sejak seminggu lalu, namun ikatan kasih antara ibu mereka amat mendalam.

Mohd Azri Irfan dan Mohd Azri Imran kini tabah menjaga ibu mereka di hospital kini, manakala tiga adik mereka ditinggalkan bersama datuk dan nenek mereka.

Di saat ibu mereka bertarung nyawa lima beradik hanya mampu berdoa agar ada keajaiban penyembuh sakit ibu mereka agar Syawal kali ini dapat diraikan bersama dengan lebih bermakna. - Astro Awani

Tarif elektrik kekal hingga hujung tahun

Kerajaan bersetuju mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWJ di Semenanjung dan 1.20 sen/kWJ di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember, tahun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata dengan pengekalan rebat tarif elektrik itu kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak RM1.303 bilion untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik kepada Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

"Manakala bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kerajaan telah membelanjakan subsidi khas sebanyak RM468 juta untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik sepanjang 2017," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata rebat tarif bagi Sabah dan Labuan ditampung melalui pemberian subsidi bahan api Medium Fuel Oil (MFO) dan diesel serta subsidi sokongan tarif elektrik oleh kerajaan persekutuan.

"Manakala peruntukan sebanyak RM1.303 bilion untuk Semenanjung itu menggunakan Dana Hasil Rundingan Semula Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Penjana Kuasa Bebas Generasi pertama (Dana Perjanjian PPA)," katanya.

Beliau berkata rebat tarif elektrik akan diberikan kepada semua kategori pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semananjung dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Sabah dan Labuan.

Ongkili berkata kerajaan juga telah bersetuju mengekalkan kadar purata tarif elektrik asas di Semananjung pada 38.53 sen/kWJ dan 34.52 sen/kWJ bagi Sabah dan Labuan.

Katanya semakan kos pembekalan elektrik oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah dasar Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) bagi Januari hingga Jun tahun ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 1.02 sen/kWJ.

"Peningkatan kos pembekalan elektrik berlaku disebabkanoleh kenaikan harga gas sebanyak RM1.50/MMBtu (satu juta Unit Termal British) daripada RM21.20/MMBtu dan kenaikan harga arang batu di pasaran dunia serta kesan kadar tukaran wang asing kepada ringgit.

"Kenaikan 1.02 sen/kWJ memerlukan surcaj kepada pengguna, namun kerajaan telah memutuskan supaya kenaikan kos pembekalan elektrik itu tidak ditanggung oleh pengguna," tambahnya.

Ongkili berkata secara keseluruhannya pelarasan tarif elektrik di bawah dasar kos bahan api dan penjanaan tidak seimbang telah membolehkan pengguna elektrik menikmati rebat sebanyak RM5.403 bilion di Semenanjung untuk tempoh Mac 2015 hingga Disember 2017.

-Bernama

Tak untung, 7-Eleven seluruh Indonesia tutup mulai esok

JAKARTA - Indonesia kini tidak lagi mempunyai kedai runcit franchais 24 jam 7-Eleven apabila kesemua kedai serbaneka itu akan ditutup mulai esok.

Penutupan kesemua 141 buah kedai itu diumumkan oleh syarikat pemilik rangkaian 7-Eleven Indonesia, PT Modern International dalam satu kenyatannya kepada Bursa Efek Indonesia baru-baru ini.

Media-media tempatan memetik Direktur PT Modern Internasional, Chandra Wijaya, sebagai berkata, pemberhentian operasi kesemua kedai 7-Eleven itu adalah disebabkan masalah keterbatasan sumber dan urusan jual-beli saham perniagaan.

PT Modern International sebelum ini dilaporkan telah bersetuju menjual perniagaan rangkaian 7-Eleven Indonesia kepada PT Charoen Pokphand Restu Indonesia tetapi penjualan saham dan aset itu dibatalkan baru-baru ini setelah kedua-dua syarikat gagal mencapai kata sepakat.

Sehingga September 2016, terdapat 175 kedai 7-Eleven di Indonesia yang hanya beroperasi di Jakarta dan pada akhir tahun lepas lebih 20 kedai itu telah ditutup secara berperingkat atas alasan tidak menguntungkan.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai 7-Eleven telahpun menutup operasi mereka sejak minggu lepas lagi dengan meletakkan notis mengenai pemberhentian operasi.

Francais rangkaian 7-Eleven mula memasuki Indonesia pada 2008 dan dikelolakan oleh PT Modern Sevel Indonesia, anak syarikat PT Modern International.

Menurut laporan kewangan suku pertama 2017 PT Modern Internasional, hasil penjualan daripada 7-Eleven mengalami penurunan sebanyak 37.17 peratus daripada Rp220,66 juta (Rp1 juta lebih kurang RM300) kepada Rp138,62 juta.

Sementara itu Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita menyangkal dakwaan bahawa penutupan 7-Eleven itu menunjukkan kelembapan sektor peruncitan di Indonesia kerana masih banyak kedai runcit​​​​​​​ 24 jam tempatan beroperasi seperti biasa.

Katanya penutupan itu adalah disebabkan masalah dalaman dan kerugian yang dialami syarikat tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk bertemu dengan pengurusan syarikat berkenaan bagi​​​​​​​mendapat maklumat lanjut mengenai penutupan kedai francais itu. - Bernama

Gengster kena denda

Weh Sang dan Kah Chun didakwa diMahkamah Majistret atas pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pertubuhan kongsi gelap.- FOTO L Manimara
TIGA lelaki termasuk seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini, atas pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap, Ahad lalu.

Tertuduh iaitu Liew Kah Chun, 27, dan seorang remaja berusia 16 tahun didakwa atas pertuduhan mempunyai tatu berunsur kongsi gelap manakala Chip Weng Sang, 45, pula atas pertuduhan memaparkan papan tanda pertubuhan tidak berdaftar.

Kah Chun dan Weng Sang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Majistret Noorhidayah Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan, Kah Chun didakwa memiliki tatu lambang kongsi gelap Wah Kee 'Geng 04/18' pada pergelangan tangan kiri manakala remaja berusia 16 tahun turut memiliki lambang tatu kumpulan kongsi gelap.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM15,000.

Weng Sang pula dituduh menggunakan papan tanda Pertubuhan Kemakmuran Si Gong Malaysia Cawangan Sungai Siput tanpa kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966.

Noorhidayah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan terhadap Kah Chun manakala RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal bayar terhadap Weng Sang.

Bagi remaja berusia 16 tahun pula, prosiding yang dijalankan secara tertutup akan disebut semula 27 Julai selepas tiada ahli keluarga remaja berkenaan hadir dan membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin kepadanya.

Mereka antara 23 individu yang ditahan dalam serbuan Op Cantas di sebuah premis di Persiaran Lintang Makmur 9, Taman Lintang Makmur, Sungai Siput, Ahad lalu.

Harian Metro melaporkan seramai 23 individu membabitkan 22 lelaki serta seorang wanita ditahan ketika sedang menjalankan upacara angkat sumpah di sebuah premis berkenaan dan merampas dua ekor ayam dipercayai digunakan untuk upacara itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee mengesahkan kumpulan itu dikenal pasti sebagai Geng 360 yang baru ingin ditubuhkan di Perak. - HMetro