Sunday, January 31, 2016

Tweet di Twitter sebelum Meninggal dunia!


Pelajar Meninggal Dalam Kemalangan, Siri Tweet Sebelum Ajal Jadi Viral

MUADZAM SHAH, 1 Feb - Seorang pelajar dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Muadzam Shah dan bapa meninggal dunia dalam satu kemalangan apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer 105.9 Jalan Kuantan - Segamat berhampiran dengan Ladang Dara Teh sekitar jam 11.15 pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Haziq Januddin, 23 dan bapa, Janudin Sukardi, 55, maut ketika dalam perjalanan menuju ke Uniten Kampus Muadzam Shah untuk Haziq pulang ke universiti tersebut.

Ketua Polis Daerah Rompin, Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dinaiki mangsa dari arah Segamat, Johor menghala ke arah Kuantan dipercayai dalam keadaan cuba memotong kenderaan di hadapan namun gagal lalu bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

Akibat kemalangan ini, pemandu dan penumpang Proton Wira berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya sebagaimana lapor Sinar Online.

Sementara itu, di laman Twitter, perkongsian tweet-tweet Haziq beberapa hari sebelum terlibat dalam kemalangan itu mendapat perhatian netizens di laman media sosial tersebut.




Para netizens di Twitter terutamanya rakan mangsa turut menyampaikan perasaan hiba dan pilu mereka dengan apa yang terjadi.




Semoga kedua-dua mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah untuk mangsa dan bapanya.


Takziah dari kami buat keluarga dan yang mengenali mangsa.

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.(Surah an-Nisaa’: ayat 78)


Friday, January 29, 2016

Istana Kedah tak tolak 3 nama MB baharu, kata Najib

Jemaah Pemangku Sultan Kedah menerima baik senarai 3 nama calon menteri besar baharu tanpa adanya penolakan, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Tanpa menyatakan senarai nama calon tersebut, Najib berkata, keputusan tentang siapakah yang bakal menggantikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan diumumkan kemudian.

"Tidak betul, nanti saya maklumkan tidak ada penolakan. Majlis itu berjalan dengan baik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, sumber memberitahu The Malaysian Insider ketiga-tiga nama calon yang diberikan Najib tidak melibatkan Mukhriz.‎

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah disebut-sebut sebagai bakal pengganti Mukhriz.

Najib pada sidang media itu berkata, sudah memaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno beliau menghadap pengerusi Jemaah Diraja Kedah pagi tadi.

"Saya memaklumkan  kepada majlis tertinggi bsaya sudah menghadap Pengerusi Jemaah Diraja  pada  pagi tadi dan saya  sembah maklum akan beberapa cadangan atas nama pihak Umno dan perkembangan selanjutnya akan dilanjutkan," katanya.

Najib mengakui krisis menteri besar Kedah sebenarnya berlaku lebih awal namun segala tindakan diputuskan 14 ketua Umno bahagian Kedah.

"Kita dengar ada masalah tapi ini diputuskan  ketua- ketua bahagian. 14 ketua bahagian, sebagai presiden parti saya kena ambil maklum dan beri pertimbangan," katanya.

Hari ini, Mstar Online melaporkan, Najib sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik menteri besar Kedah yang baharu ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Rabu. - TMI

Tak timbul Mukhriz boleh hadir atau tidak- Ku Nan

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, tidak timbul isu sama ada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dihalang daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu petang ini.

Menurut Tengku Adnan, Mukhriz sebenarnya tidak perlu hadir ke mesyuarat berkenaan kerana tidak dijemput memandangkan beliau merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno yang dilantik dan bukan melalui pengundian.

"Sebenarnya tak timbul masalah dia hadir atau tidak kerana dia ialah ahli majlis tertinggi "turut hadir" sahaja. Bukan ahli.

"Dia (MT) turut hadir. Kalau majlis tertinggi putuskan tak payah datang, tak payah datanglah. Itu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Ditanya sama ada pihaknya telah memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada Mukhriz, Tengku Adnan berkata:

"Dah (maklumkan) pagi tadi. Saya beritahu. Saya telefon dia (Mukhriz)," katanya lagi. - Mkini

Mukhriz diarah tinggalkan mesyuarat MT Umno

KUALA LUMPUR -  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diminta keluar daripada Mesyuarat ahli Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung di Menara Dato Onn, hari ini.

Ketika diserbu wartawan, beliau memaklumkan bahawa terpaksa meninggalkan mesyuarat itu atas arahan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

"Mereka yang tanpa jemputan diarah keluar... Ia merujuk kepada saya arahan daripada Setiausaha Agung," katanya di luar bangunan sebelum beredar.

Mukhriz sebelum itu antara yang hadir awal sekitar 3.05 petang dan beredar pada 3.50 petang.

Pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai menyerahkan tiga nama calon Menteri Besar Kedah kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam pertemuan di Istana Darul Aman.

Majlis Tertinggi Umno dipercayai sedang berbincang mengenai masa depan Mukhriz yang juga adalan pengerusi perhubungan Umno Kedah sebagai menteri besar.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada Kabinet pada 28 Julai lalu. - SH

Tuesday, January 26, 2016

Zaid Ibrahim: SPRM patut tutup kedai

Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyatakan rasa tidak yakin terhadap keputusan peguam negara membersihkan nama perdana menteri dalam isu dana RM2.6 bilion.
Beliau juga merujuk kenyataan peguam negara Tan Sri Apandi Ali bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mengakui Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesilapan.
“Jika benar SPRM kata kata tiada salah dibuat oleh Najib, SPRM patut tutup kedai,” tulisnya di Twitter.
Apandi hari ini juga mengarahkan siasatan terhadap kes itu ditutup dan mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil. - Mkini

Dana RM2.6b, SRC: Najib tiada kesalahan jenayah

PUTRAJAYA - Peguam Negara mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait tiga kertas siasatan melibatkan dana RM2.6 bilion dan kes SRC International yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu sidang media hari ini berkata, dalam kes siasatan dana berjumlah RM2.6 bilion, beliau berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumen berkaitan dikemukakan SPRM menunjukkan dana berjumlah RM2.08 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Manakala, katanya, siasatan berkaitan SRC International di bawah Akta SPRM 2009 mendapati tiada keterangan menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sementara itu, siasatan di bawah Kanun Keseksaan mendapati tiada keterangan yang boleh menunjukkan Najib mengetahui dan/atau dimaklumkan terdapat kemasukan wang dari akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau. - SH

Monday, January 25, 2016

BN akan jatuh di Kedah jika singkir Mukhriz, kata Dr Mahathir

Cubaan pimpinan Umno Kedah menyingkirkan menteri besar negeri itu akan memakan diri, kerana Barisan Nasional (BN), parti pemerintah di negeri itu, akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri yang juga bapa menteri besar itu berkata, mereka yang berusaha  menggulingkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga tidak mempunyai rekod kepimpinan yang baik.

"Saya tidak mengatakan supaya jangan tukar menteri besar, tetapi tahu apa akibatnya.

"Mereka menyebabkan BN tewas kepada PAS (pada tahun 2008). Oleh itu, jika mereka mengambil alih, kemungkinan mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang," beliau dipetik berkata Mstar Online, hari ini.
Dr Mahathir yang lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga menasihati anaknya itu tiada perkara yang mustahil dalam berpolitik.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Tak ada apa yang kekal. Anda ada rakan dan musuh.

"Kadang-kadang rakan berkelakuan seperti musuh dan kadang-kadang musuh akan berkelakuan seperti kawan," katanya menurut laporan portal berita itu.

Kepimpinan Umno Kedah sebelum ini menggesa campur tangan Najib menggugurkan Mukhriz sebagai menteri besar dan ketua perhubungan Umno negeri susulan kegagalannya membentuk jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kemelut tersebut tidak boleh dibiarkan berpanjangan memandangkan Umno dan BN perlu bersedia menghadapi PRU akan datang.      

Beliau juga menyatakan kesediaan menerima sebarang keputusan Najib yang juga presiden Umno dan pengerusi BN, berdasarkan kepada hak prerogatif yang ada padanya.

Berhubung khabar angin kononnya beliau akan diangkat menjadi menteri besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Mukhriz, Ahmad Bashah berkata, terpulang kepada keputusan Najib selaku presiden parti.

"Terpulang kepada presiden parti, itu hak beliau, siapa-siapa pun yang jadi menteri besar kami akan sokong. Kami yakin dengan kebijaksanaan beliau (Najib)," katanya.

Suasana politik di Kedah “panas” sejak Rabu lalu apabila Mukhriz menerima tekanan daripada ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai Ahmad Bashah, secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Berikutan itu, Mukhriz menegaskan beliau akan kekal sebagai menteri besar selagi khidmatnya diperlukan  rakyat Kedah.          

Krisis itu berterusan apabila Ahmad Bashah bersama sebahagian besar kepimpinan Umno Kedah mengadakan pertemuan dengan Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Jumaat berhubung desakan mereka supaya Mukhriz berundur. - TMI

Thursday, January 21, 2016

PETRONAS mungkin kurangkan 51,000 kakitangan

PETALING JAYA: PETRONAS berkemungkinan akan mengurangkan seramai 51,000 kakitangan sebagai salah satu kaedahnya berhadapan dengan realiti harga minyak mentah dunia yang rendah, lapor Malaysia Reserve.
Sumber memberitahu, pengurusan PETRONAS sedang menimbang untuk melaksanakan skim pemberhentian sukarela (VSS) kepada kakitangan syarikat minyak negara itu.
Selasa lalu, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan, PETRONAS merancang untuk mengurangkan perbelanjaan operasi dan modal sebanyak RM50 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang.
PETRONAS yang menyumbang hampir separuh daripada hasil minyak Malaysia, akan menangguhkan pelaburan dalam beberapa projek, lapor WSJ berdasarkan memo dalaman oleh Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Syarikat minyak negara terkesan dengan kejatuhan harga minyak dunia, yang mana jatuh ke paras terendah sejak tahun 2003 pada Isnin lalu.

Harga minyak mentah dunia jatuh lebih 70% dalam tempoh 18 bulan lalu dan pada masa sama pengeksport minyak seluruh dunia terus mengeluarkan minyak melebihi sejuta tong sehari dalam pasaran.
Feb tahun lalu, PETRONAS dilaporkan merancang untuk mengurangkan perbelanjaan modal sebanyak 10% dan perbelanjaan operasi sehingga 30% pada tahun 2015.
PETRONAS juga dilaporkan akan mengurangkan perbelanjaan modal sebanyak 15% pada tahun 2016.
– Reuters

Ketua SPRM nafi spekulasi letak jawatan, ikrar siapkan siasatan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, beliau tidak bercadang untuk meletakkan jawatan buat masa ini kerana mahu menyelesaikan siasatan suruhanjaya itu.
Abu Kassim berkata demikian ketika mengulas spekulasi bahawa beliau akan dipaksa keluar dari pejabatnya ketika suruhanjaya itu sedang menyiasat kes berprofil tinggi berhubung dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan SRC International.
"Saya tidak ada tekanan yang diberi dan saya pun tidak akan berhenti sebab tekanan kerana tanggungjawab ini penting.
"Saya kena habiskan, terutamanya siasatan yang ada sekarang ini," katanya kepada MACC.fm dalam satu wawancara.
Abu Kassim berkata kemungkinan beliau akan bersara adalah perkara yang subjektif.
"Hari ini, saya kata tidak ada permohonan, saya tidak pernah memohon untuk berhenti atau bersara dan sebagainya. Tetapi apa yang berlaku pada masa akan datang, kita tidak tahu.
"Tetapi selagi saya sihat, saya akan terus menerajui SPRM. Tetapi kalau sampai waktunya kalau saya tidak sihat dan keadaan memerlukan saya berehat, itu adalah perkara yang berlainan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Abu Kassim berkata bahawa hari itu masih belum datang dan beliau akan meneruskan tugasnya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM buat masa ini.
Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan bahawa Abu Kassim mungkin terpaksa bersara awal atas alasan kesihatan.
Beliau berkata keadaan itu umpama apa yang berlaku ke atas peguam negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail yang dipecat pada Julai tahun lalu.
Dalam temu bual dengan MACC.fm, itu Abu Kassim juga disoal keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengembalikan kertas siasatan berhubung kes SRC International dan ‘derma’ RM2.6 bilion.
Menurutnya, tindakan itu adalah amalan biasa apabila Jabatan Peguam Negara mahu mendapatkan penjelasan lanjut.
Tambahnya, SPRM akan menangani isu-isu yang dibangkitkan berkenaan tetapi tidak mengulas lanjut mengenai penjelasan yang dicari itu. - Malaysiakini

Saturday, January 16, 2016

Kerjasama putus jika PKR khianati Pas

PUTRAJAYA - Pas tidak teragak-agak memutuskan kerjasama politik dengan PKR sekiranya parti pelbagai kaum itu mengikut jejak langkah DAP.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Pas tidak akan membiarkan rakan tahaluf siyasinya melakukan sabotaj bersama musuhnya di kawasan Pas.

"Prinsip Pas tidak bekerjasama dengan pengkhianat, walaupun PKR ada perjanjian dengan Amanah dan DAP, namun kita kena tengok dari semasa ke semasa.

"(Tindakan) PKR meraikan program Amanah menyerang kawasan Pas seolah-olah sabotaj kepada Pas. Kita tak boleh berkawan dengan orang yang berkawan dengan musuh kita," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Usahawan Haraki, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin semalam bahawa PKR tetap bekerjasama dengan DAP dan Pas bagi menghadapi PRU14 khususnya di Selangor.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin juga berkata, Pas tidak mahu 'diperkuda' oleh PKR seperti mana yang dilakukan DAP bagi memenangi pilihan raya lalu.

"PKR (mahu) guna tenaga kita untuk pilihan raya (PRU14), lepas pilihan raya pula, ia mempergunakan kita ini bukan untuk prinsip Islam," tegasnya.

Rabu lalu, Pas Kelantan telah menghantar surat bantahan rasmi kepada PKR berhubung kehadiran pemimpin PKR negeri itu dalam majlis anjuran Amanah.

Surat bertarikh 13 Januari itu ditujukan kepada Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Sehubungan itu, Mohd Khairuddin menyerahkan kes tersebut kepada kebijaksanaan Pas negeri untuk menanganinya.

"Kita sedia bersendiri walaupun tanpa DAP dan PKR, kita juga boleh bekerjasama dengan parti-parti baharu yang lain

"Kita akan bekerjasama juga dengan NGO untuk buat kerjasama politik ke arah politik baru tanpa mengabaikan keperluan rakyat itu khususnya dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya lagi. - SH

Sunday, January 10, 2016

Ahli PAS Dilarang Hadir Majlis Amanah Dan DAP

PETALING JAYA: Ahli PAS kini 'dilarang' daripada menghadiri mana-mana majlis atau acara berkaitan Parti Amanah Negara (Amanah) atau DAP, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, setiap ahli juga perlu memohon kebenaran daripada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terlebih dahulu untuk menghadiri program anjuran mana-mana parti politik lain.

Menurut pekeliling oleh Takiyuddin kepada ahli-ahli parti pada Ahad, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah membuat keputusan itu semasa mesyuarat pada Jumaat untuk 'mengekalkan perpaduan parti dan untuk mengelakkan perlanggaran perlembagaan dan arahan parti'.

Kenyataan itu mengarahkan supaya arahan itu disampaikan kepada ahli parti di semua peringkat.

"Ahli PAS adalah dilarang untuk mengambil bahagian, melibatkan diri, bekerjasama, membantu atau menyertai mana-mana program Amanah atau DAP di semua peringkat," kata pekeliling itu.

"Ahli PAS mesti mendapatkan kebenaran daripada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum menghadiri mana-mana program atau aktiviti politik yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik lain di mana mereka telah menerima jemputan," kata beliau.


Pengecualian kebenaran untuk sebarang acara yang dianjurkan oleh DAP dan Amanah adalah 'dilarang terus'.

Ahli-ahli parti juga diingatkan supaya tidak melanggar sebarang perlembagaan parti, khususnya dalam Fasal 16 dan 82 yang merangkumi disiplin dan hak-hak ahli. - Mstar

PAS tak gentar dengan Pakatan Harapan, kata Hadi

PAS tidak gentar dengan Pakatan Harapan dan ia bukanlah ancaman kepada parti Islam itu, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut presiden PAS itu, partinya paling berpengalaman di Malaysia dan menjadi semakin kuat sejak ditubuhkan.
“PAS parti paling berpengalaman sebelum merdeka dan sejak merdeka,” kata Hadi seperti dilaporkan The Star Online.
 Katanya, PAS pernah menghadapi pelbagai parti sebelum ini termasuk Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) tetapi tidak pernah jatuh.
“Pakatan bukan baharu, Pakatan Harapan dan pelbagai pakatan sejak tahun 1960an ada yang rebah.
“Ada yang rebah tidak bangun-bangun, kita terus bangkit,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ijtima’ Pilihan Raya Selangor di Kuala Selangor hari ini seperti dilaporkan The Star Online.
Kenyataan Hadi itu dikeluarkan sehari selepas Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menandatangani kod tingkah laku baharu pada konvensyen pertama mereka semalam.
Hadi juga dilaporkan sebagai berkata tidak gentar dengan parti serpihan PAS, Amanah.
DAP, PAS dan PKR sebelum ini bersama-sama dalam Pakatan Rakyat sebelum gabungan itu terkubur tahun lalu. - TMI