Monday, February 22, 2016

Nazri gesa Muhyiddin letak jawatan timbalan presiden Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatannya sebagai timbalan presiden Umno jika beliau tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna.

Semasa membuat gesaan itu, beliau berkata Perlembagaan Umno menyatakan dengan jelas tugas timbalan presiden parti itu adalah untuk membantu presiden.

"Adalah menjadi satu kesalahan, jika timbalan presiden melakukan sebarang tindakan yang bertentangan dengan tugasnya itu," kata  Nazri, yang juga menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Menurutnya Muhyiddin juga silap bila beliau menyatakan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak mengambil tindakan terhadap beliau kerana tiada bukti tentang kesalahannya itu.

"Sebelum Perhimpunan Agung Umno yang lepas, beliau (Muhyiddin) bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menganjurkan perjumpaan terbuka yang digunakan untuk menghentam Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Sekarang, beliau masih lagi mempersoalkan isu seperti sumbangan RM2.6 bilion yang diumumkan selesai peguam negara dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih lagi dalam prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara," katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja hari ini.

Nazri berkata semua perkara itu bukti nyata yang menunjukkan Muhyiddin tidak bersama presiden, dan perbuatannya itu boleh dikenakan tindakan.

"Muhyiddin juga tidak lagi menjalankan tugas seperti mana yang diharapkan  perwakilan yang mengundi beliau untuk menyandang jawatan itu," katanya.

Nazri berkata jika Muhyiddin enggan meletakkan jawatannya, beliau sendiri akan mengusulkan supaya Muhyiddin digantung keahliannya pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan datang. – Bernama

No comments:

Post a Comment