Monday, December 29, 2014

Anggaran Pampasan Pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang berjumlah RM349 juta

Anggaran pampasan RM349 juta

HONG KONG: Syarikat insurans terkemuka Jerman, Allianz mengesahkan pihaknya adalah syarikat insurans utama kepada pesawat AirAsia yang hilang bersama 162 penumpang, menjadikannya insiden nahas udara ketiga membabitkan mereka sepanjang tahun ini.

Syarikat itu adalah penanggung insurans penerbangan MH370 yang hilang di Lautan Hindi Mac lalu dan juga pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada bulan Julai.

"Kami mengesahkan Allianz Global Corporate & Specialty UK (AGCS) adalah penanggung insurans utama AirAsia," kata jurucakap Allianz dalam satu kenyataan.

Nahas udara adalah antara empat punca utama kerugian insurans yang tidak berkaitan bencana alam dalam tempoh lapan bulan pertama 2014 menurut laporan Allianz.

Bagaimanapun Allianz enggan memberi komen mengenai nilai insurans atau mendedahkan syarikat lain yang terbabit dalam pampasan kehilangan pesawat AirAsia Indonesia berkenaan.

Pengiraan Reuters menunjukkan pampasan minimum bagi insiden seperti ini mungkin mencecah 100 juta USD (RM349 juta).

Seperti dua nahas udara sebelum ini, Allianz bersama syarikat insurans lain perlu menanggung kos kehilangan pesawat Airbus A320-200 itu serta pampasan kepada waris mangsa. - Reuters

No comments:

Post a Comment