Friday, January 16, 2015

Qatar Airbus A350 mula penerbangan komersial Doha-Frankfurt


A350 mula penerbangan komersial Doha-Frankfurt

Pesawat terbaru, Airbus, A350, melakukan penerbangan sulung dengan membawa penumpang berbayar pertama dari Qatar semalam.

Penerbangan Qatar Airways berlepas dari ibu negara Qatar, Doha pada pagi dan mendarat di Frankfurt, Jerman pada pukul 12.30 tengahari waktu tempatan.

Ia merupakan penampilan sulung pesawat jarak jauh dengan dua lorong itu yang menjanjikan syarikat-syarikat penerbangan untuk menghubungkan bandar-bandar yang lebih kecil dengan hab penerbangan utama tanpa henti pada kos yang lebih rendah.

Bagi penumpang, pesawat baru ini menawarkan tingkap yang lebih luas selain tempat simpanan barangan yang lebih besar.


Pesawat A350 merupakan pesawat utama ketiga, dan terakhir, yang dilancarkan pada dekad ini.

Pesawat pertama ialah pesawat dua tingkat, A380 yang melakukan penerbangan sulung pada Oktober 2007. Ia merupakan pesawat penumpang terbesar yang direka untuk membawa 525 penumpang antara bandar besar.

Selepas itu, giliran Boeing, B787 yang membawa penumpang pertamanya pada Oktober 2011.

Pesawat yang dikenali dengan pangilan Dreamliner dengan kos operasi lebih rendah itu menawarkan penerbangan tanpa henti antara bandar yang sebelum ini tidak dapat dilakukan berikutan tidak mempunyai cukup penumpang, menyaksikan penerbangan ke destinasi tertentu tidak berbaloi dilakukan.

Seperti Dreamliner, rekaan A350 menggunakan material yang ringan membolehkan ia menggunakan kurang bahan bakar berbanding pesawat yang sama saiz dengannya.


Kira-kira separuh daripada strukturnya diperbuat daripada bahan komposit seperti plastik bertetulang oleh gentian karbon. Ditambah dengan titanium dan aloi aluminium berpestasi tinggi dan lebih 70 peratus pesawat itu menggunakan bahan yang ringan (lightweight).

Pembuar pesawat, Airbus berkata, A350 akan membantu membuka laluan seperti Shanghai ke Boston, Massachusetts atau Paris ke Santiago, Chile.

Pesawat A350 mampu membawa antara 276 hingga 369 penumpang, bergantung kepada varian dan konfogurasi tempat duduk yang dipilih oleh syarikat penerbangan.

No comments:

Post a Comment